Saturday, December 18, 2010

Aku Nak Jadi Diri Sendiri (Sumber: Azzariyat)


Sebut tentang Romeo kita teringat tentang Juliet. Sebut tentang Adam kita teringat tentang Hawa. Sebut tentang raya kita teringat tentang duit raya. Sebut tentang hijrah kita teringat tentang perubahan. Hijrah sememangnya mengingatkan kita tentang azam dan perubahan. Samada kita mencipta azam baru, mahupun kita memasang niat untuk berubah menjadi lebih baik.
” Aku nak jadi diri sendiri je, biasa-biasa je. Tak mahulah jadi baik sangat.”
Sesetengah orang lebih suka mengambil sikap sederhana iaitu mahu menjadi manusia yang ‘biasa-biasa’ atau mahu menjadi diri sendiri. Namun, siapakah yang lebih tahu daripada Allah Yang Menciptakan manusia? Sedangkan Allah telah berfirman di dalam kitab al-Quran apakah tujuan manusia itu dicipta.
” Dan ( ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ” Aku hendak menjadikan khalifah di bumi. Mereka berkata, ” Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merusak dan menumpahkan darah disana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu? Dia berfirman, ” Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” [ Al-Baqarah 2 : 30]
” Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” [ Az- zariyat 51:56]
Dua potongan ayat al-Quran di atas seringkali disebut apabila kita berbicara tentang tujuan manusia itu dicipta. Dan ianya patut diulang-ulang supaya sentiasa dapat menberi peringatan kepada manusia kerana manusia seringkali terlupa tentang tujuan mereka diciptakan.
Tujuan penciptaan manusia jelas memperlihatkan manusia dicipta atas muka bumi ini bukan untuk bersenang lenang dengan nikmat Allah, jauh sekali mengkufuri nikmatNya. Adalah tidak wajar seorang manusia kerdil yang diciptakan untuk menjadi khalifah dan beribadah kepada Allah s.w.t, memilih untuk menjadi biasa-biasa tanpa melaksanakan tujuan kehidupannya.
” Aku nak jadi diri sendiri je, biasa-biasa je. Tak mahulah jadi baik sangat.”
Ayat ini diulang lagi saat-saat kita melihat rakan-rakan lain sibuk dengan kerja dakwah mereka. Tekad dalam diri terus teguh, mahu jadi diri sendiri! Tapi adakah kita yakin dan tahu bahawa diri kita ini ‘biasa-biasa’ saja? Siapa tahu diri kita sendiri ini sebenarnya adalah orang hebat yang akan membantu menegakkan agama Allah di muka bumi ini? Jadi kita tidak boleh menganggap diri kita ‘biasa-biasa’ kerana semua manusia berpotensi menjadi hebat dengan menguasai ilmu duniawi dan ukhrawi.
” Aku nak jadi diri sendiri, jadi orang hebat yang membantu agama Allah.”
Ini barulah azam yang betul dan patut ada dalam diri setiap manusia. Sahabat, sememangnya tidak salah menjadi diri sendiri, namun harus kita muhasabah, setakat mana kita menilai diri sendiri? Adakah kita menilai diri sendiri ini sebagai orang ‘biasa-biasa’ atau manusia hebat yang diciptakan untuk membantu menyebarkan kebenaran Islam. Lantas, kesedaran tentang betapa kita ini makhluk terbaik yang diciptakan Allah s.w.t membawa kita melangkah setapak menjadi lebih baik dari kita yang sekarang. Namun, perubahan bukanlah mudah dan jalannya tidak lari dari dihalangi pelbagai dugaan.
Saat-saat kita mahu berubah, sememangnya ia memerlukan mujahadah yang tinggi dalam diri kita sendiri. Ketika kita meminta kekuatan dan sokongan dengan orang-orang sekeliling, sebenarnya yang lebih membuatkan kita kuat adalah semangat dalam diri kita sendiri. Dan ketika kita sedang mengumpul semangat dalam diri kita, sebenarnya kekuatan itu datang dari Allah s..w.t.
Maka dengan kekuatan yang diraih daripada Allah s.w.t, kita sebenarnya mempunyai kekuatan untuk mengetepikan segala dugaan yang datang melanda ketika itu. Kata-kata sinis daripada orang sekeliling adalah satu perkara yang seakan-akan mesti dilalui oleh manusia saat mereka mahu berubah menjadi baik. Dan janganlah kita mengambil ia sebagai salah satu faktor yang melunturkan semangat kita kerana bukan manusia yang akan menghitung niat dan keikhlasan kita, tetapi yang menghitung dan memberi balasan kebaikan adalah Allah s.w.t.
Jika diperhatikan kehidupan ini, kita seringkali mendapat kegembiraan dalam hidup. Kesedihan itu ada namun jarang sekali ia berlaku. Kadang-kadang kita berdoa mahukan 10A, Allah s.w.t bagi 10A1, kita berdoa nak makan ketam, Allah izinkan kita makan bukan setakat ketam, malah udang, tiram dan ikan. Kita mohon tiket penerbangan semurah 60,000 yen untuk pulang bercuti ke Malaysia, Allah beri peluang kita dapat tiket semurah 55,000 yen untuk pulang. Subhanallah. Allah sering memberikan apa yang kita mohon, malah kadang kala kita mendapat sesuatu melebihi apa yang kita mahu.
Ingatlah tentang nikmat-nikmat Allah ketika kita sedang asyik melayan duniawi. Ingatlah yang memberi nikmat kehidupan itu adalah Allah s.w.t. Tidak patut sama sekali nikmat itu lebih dihargai daripada Pemberi nikmat. Terlalu banyak nikmat Allah kurniakan, sedikit sekali kita bersyukur. Marilah sahabat, saya mengajak diri saya sendiri dan juga sahabat, mari kita berhijrah menjadi lebih baik. Mari berhijrah daripada kegelapan akibat terlalu cinta pada duniawi. Mari berhijrah melaksanakan tujuan penciptaan kita di muka bumi ini. Mari berhijrah menjadi hamba terbaik untuk Allah s.w.t. Mari berhijrah menjadi orang hebat yang akan membantu menegakkan agama. Mari berhijrah demi redha Allah s.w.t.
Ingatlah, ketika kita sedang bersedih kita ada Allah sebagai tempat mengadu kesedihan. Ketika kita sedang gembira, kita ada Allah sebagai tempat kita bersujud mensyukuri. Ketika kita berdoa, kita ada Allah sebagai Yang Maha Mendengar dan Memakbulkan doa kita. Ketika kita tidak ada lagi manusia yang menyayangi kita, kita tetap ada Allah yang sentiasa menyayangi kita. Ketika kita sendirian mengumpul kekuatan, Allah sentiasa ada memberi kekuatan kepada kita. Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah :)

p/s: artikel ini hadir ketika aku sedang berkata-kata dgn diriku..layak ke diriku nak jadi org yg hebat..dahlah perangai aku yg ntah apa2, benda2 pelik yg ak slalu buat, n amal ibadah ku yg sgt kekurangan...terasa diri ini rendah sgt
Ibadah berasal dari perkataa 'abid' iaitu hamba..and ibadah tu blh membawa makna menghinakan diri kita ke sisi Allah..kita adalah hamba tapi telah dinaikkan darjat kita sbg Khalifah di bumi ini olh Allah..
semua orang berhak menjadi hebat, bukan? ^^
(setsuna: yeah..aku blh melakukannya...hehe)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...